بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Hari tu aku bertemu dengan seorang gadis yang baik. Tidak pernah kenal, tidak pernah ketemu pun sebelum ni. Tapi dengan izin Allah, dia memberikan aku nasihat tentang "keberkatan dalam kerja". Dia seorang akauntan yang sepatutnya bekerja bermula jam 9 pagi hingga 6 petang sahaja, tapi pada hari itu, aku bertemu dengan dia pada jam 10 malam.
Pelik kan? Extra 4 jam tu. Aku bertanya kepada dia kenapa dan adakah dia OT (overtime) pada waktu tu. Dan dia menjawab soalan ku dengan tenang, "Tidaklah, kami tiada OT. Saya cuma siapkan kerja yang belum settle dan gantikan waktu-waktu kerja ku yang mungkin tidak berkat, mungkin ada waktu yang saya ter'malas', tidak lakukan kerja dengan sungguh-sungguh, berlengah-lengah. Jadi saya gantikan dengan kerja lebih masa untuk dapatkan keberkatan dalam kerja."
Hati aku tersentak. Kerana tidak pernah terlintas di fikiran ku untuk kerja lebih masa, lebih-lebih lagi bila kerja yang sekadar makan gaji. Bahkan aku yakin, ramai di antara kita yang lebih menanti-nantikan masa balik, alunan keluh-kesah "cepatlah masa habis" terngiang-ngiang di hati. Termasuklah aku. Astaghfirullah. Semoga Allah ampunkan kita.
Lantas aku teringat sebuah hadis yang mengatakan tentang pekerjaan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW, iaitu: berniaga, bertani, menternak dan menangkap ikan. Kenapa pekerjaan ini sangat digalakkan? Pertama, kerana pekerjaan ini meletakkan kebergantungan yang tinggi pada Allah. Pengharapan pada Allah, Tuhan yang memberi rezeki. Kedua, kerana hasil daripada pekerjaan ini adalah sesuai dengan usaha individu tersebut. Usaha lebih dapat lebih, usaha kurang dapat kurang.
Lantas aku teringat sebuah hadis yang mengatakan tentang pekerjaan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW, iaitu: berniaga, bertani, menternak dan menangkap ikan. Kenapa pekerjaan ini sangat digalakkan? Pertama, kerana pekerjaan ini meletakkan kebergantungan yang tinggi pada Allah. Pengharapan pada Allah, Tuhan yang memberi rezeki. Kedua, kerana hasil daripada pekerjaan ini adalah sesuai dengan usaha individu tersebut. Usaha lebih dapat lebih, usaha kurang dapat kurang.
Tapi kalau dibandingkan dengan kerja makan gaji, kau kerja overtime kah, kerja sungguh-sungguh kah, bermalas-malasan kah, attitude buruk kah, gaji yang masuk tetap sama. Malangnya, keberkatan dalam kerja mungkin tidak sama. Allahu rabb.
* * *
Nasihat kakak akauntan itu tidak hanya habis di situ. Dia melanjutkan taujihnya kepada ku. Untuk memudahkan kita mengambil iktibar, berikut adalah poin-poin penting dalam kandungan taujih beliau beserta olahan dari ayat ku sendiri.
1. Bersyukurlah
"Bila dapat kerja yang sama bidang dengan apa yang kita belajar di universiti, kita kena banyak bersyukur. Tidak ramai yang dapat peluang seperti ini." Inilah ayat pertama yang keluar setelah beliau jelaskan tentang keberkatan dalam kerja. Sekali lagi, aku tersentak. Kerana sememangnya kerja aku sekarang adalah sebiji dengan apa yang aku pelajari di uni iaitu bidang Farmasi. Alhamdulillah 'ala kulli hal (Segala puji bagi Allah di atas semua hal)!
Memang di awal pekerjaan kita tidak tahu apa-apa, tapi minima kita familiar serba sedikit dengan kerja tu. Allah pernah berfirman, "Jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu. Dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim, 14:7)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda, "Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu." (HR Bukhari dan Muslim)
Jangan suka compare diri kita dengan orang lain yang 'tampak' lebih baik dari kita, tapi selalu beringat bahawa ada lagi orang lain yang tidak bernasib baik seperti kita.
2. Sahutlah cabaran!
Adapun orang yang dapat kerja yang 360 darjah berbeza dengan bidang sendiri. Sahutlah cabaran untuk kembangkan potensi diri dalam kerja tersebut! Jangan jadikan ia sebagai alasan untuk menganggur. Jangan jadikan ia sebagai alasan untuk tidak bekerja. Kerana mungkin disebalik kerja itu tersembunyi rezeki kita yang tidak tersangka-sangka. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
"Saya pun dulu belajar Sains Computer. Tapi alih-alih dapat kerja akauntan. Apa boleh buat, terima jak lah. Susah mahu cari kerja sekarang ni. Ramai graduan yang tidak mahu bekerja kerana tidak sama bidang dan gaji yang ditawarkan rendah. Dia tidak sedar bahawa dirinya tidak berpengalaman lagi dalam kerja." Kata kakak akauntan tu.
100% setuju! Timbalah pengalaman dan ilmu baru! Pada suatu hari nanti, pasti kita akan melihat betapa hebatnya perancangan Allah yang telah diaturkan untuk kita.
3. Zero to Hero
Semua orang bermula dari kosong. Tidak tahu apa-apa. Tapi kita lah yang kena belajar dari bawah. Bersungguh-sungguh untuk pelajari apa yang tidak kita ketahui. Apa yang kita pernah belajar di universiti hanya teori semata-mata, tapi bila sudah masuk ke alam pekerjaan, semuanya berbeza. Sampai ada yang musykil, "betulkah ini yang pernah aku pelajari?" Dan ketahuilah, pengalaman itulah ilmu yang sangat berharga. Untuk dapatkan pengalaman ini, kenalah bekerja dan ia juga memakan masa yang panjang. Tiada baby yang lahir-lahir, terus pandai berlari.
Jangan takut melakukan kesilapan, kerana tiada manusia yang sempurna. Bila kita belajar, pasti akan ada kesalahan yang kita lakukan. Jangan takut dimarah, kerana kebanyakan ilmu yang kita pelajari dari kesilapan adalah lebih meresap di hati. Besar kemungkinan akan diingat sampai mati. InsyaAllah.
Imam Syafie Rahimahullah pernah berkata, "Kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali dengan 6 hal iaitu kecerdasan, gemar belajar, sungguh-sungguh, memiliki biaya, bergaul dengan guru dan perlu waktu lama."
Imam Syafie Rahimahullah pernah berkata, "Kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali dengan 6 hal iaitu kecerdasan, gemar belajar, sungguh-sungguh, memiliki biaya, bergaul dengan guru dan perlu waktu lama."
4. Ilmu datang daripada Allah
"Saya tidak takut untuk sahut cabaran menjadi akauntan kerana saya yakin yang ilmu itu datang daripada Allah." Subhanallah, hebatnya kata-kata hikmah dari akauntan beriman ini.
Kepada yang baru bekerja, yang rasa diri tidak tahu apa-apa, yang rasa diri tidak mampu. Jangan bersedih! Yakinlah semua ilmu itu datang daripada Allah. Dialah yang memberi dan mengajarkan ilmu kepada siapa yang Dia kehendaki. Oleh itu, mintalah kepada Allah! "Ya Allah, berikanlah aku ilmu yang bermanfaat dan rezekikanlah aku kefahaman." Lalu iringilah doa mu dengan usaha dalam menuntut ilmu. Baik ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi.
Rasulullah SAW pernah berpesan, "Mintalah pada Allah walaupun garam." Subhanallah! Even garam pun boleh minta pada Allah, apatah lagi ilmu yang bermanfaat, guys.
5. Be Flexible
"It's not about how much you get, but how much you give." Dia menjelaskan tentang salah satu sifat yang penting dalam bekerja.
Menjadi flexible adalah salah satu kunci kejayaan. Tidak rigid kepada satu kepakaran tertentu, tapi tiga empat kepakaran pun dia boleh sapu. Ilmu kewangan, ilmu komputer, ilmu pendokumentasian, ilmu customer service dan sebagainya. Orang yang flexible tidak pernah mengadu, "aku tidak tahu" tapi sebaliknya dia meminta "ajarilah aku". Dia tidak mengatakan "itu bukan tugas ku" tapi dia menjawab "apa yang boleh aku bantu?".
Begitulah manusia yang flexible dalam kerjanya, dia tidak merasa dirinya dipergunakan, atau diambil kesempatan atas kebaikannya. Bahkan dia melihat dari sudut positif iaitu untuk mengembangkan potensi dan kemampuan dirinya. Bersungguh-sungguh dan berjiwa tegar untuk menjadi manusia yang paling bermanfaat. Lillahi ta'ala.
6. Raih penghargaan dari Allah
Buat yang terbaik, bukan untuk dapat penghargaan dari manusia. Bukan berharap untuk dapat pujian mereka. Juga bukan berharap agar dinaikkan pangkat dan diterima di sisi rakan sekerja. Tidak!
"Salah satu tips untuk kekalkan momentum dalam kerja ialah niat ikhlas kerana Allah." Apabila niat disandarkan kerana manusia, maka konsistensi untuk buat yang terbaik tidak akan kekal lama. Buat yang terbaik hanya bila dilihat, tapi bersambil lewa bila tidak dipandang. Na'udzubillahi minan zalik!
"Sesungguhnya sesuatu amal itu tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya seseorang itu akan mendapat apa yang diniatkan." (HR Bukhari dan Muslim)
Alangkah indahnya, saat gerak geri kerja kita sentiasa mengingati Allah.
Alangkah indahnya, dalam kesibukan kita bekerja tapi masih mampu berdoa dengan khusyuk kepadaNya.
Alangkah indahnya, saat-saat bekerja tapi masih mampu berprasangka baik pada Allah dengan segala ujian yang berbentuk nikmat atau musibah.
Alangkah indahnya, masa yang dihabiskan sepanjang kerja mendapat pahala yang baik dari sisi Allah.
Allah pernah berfirman dalam hadis Qudsi, "Aku bersama hambaKu selama mana ia mengingati Ku dan selama mana kedua-dua bibirnya bergerak menyebut namaKu." (HR Bukhari, Ahmad dan Ibnu Majah)
Buya Hamka pernah berkata, "Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kalau kerja setakat kerja, kera pun bekerja."
* * *
Kerja yang berkat akan terasa tenang untuk dilakukan.
Masa yang berkat akan terasa panjang untuk diluangkan.
Duit yang berkat akan terasa banyak untuk digunakan.
Rezeki yang berkat akan terasa sebagai nikmat yang besar dari Tuhan.
Bukan "berapa banyak yang diterima" menjadi persoalan.
Tapi "berapa banyak yang disyukuri" menjadi kecukupan.
Allahu'alam. Semoga menginspirasi diri ini dan kita semua untuk terus beramal dan bekerja kerana Allah. Insya Allah.
<Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh>