بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Ini adalah kisah benar yang berlaku pada aku, sesuatu yang jarang-jarang sekali terjadi. Aku kira ini adalah insiden pertama untuk tahun 2018. Semoga setiap yang membaca kisah ini, mendapat manfaat yang terbaik, serta dipermudahkan oleh Allah untuk mengamalkan ilmu-ilmu yang dipelajari.
29.7.2018, Ahad pagi, aku alami menstrual discomfort seperti kebiasaan perempuan alami bila period datang. Tapi istimewanya aku, period aku berlangsungan selama 63 hari. Dan Ahad pagi itu, adalah hari yang ke 59. Ini perkara biasa berlaku pada perempuan muda seperti aku. Kerana hormon yang tidak seberapa stabil. Tapi sekali lagi, istimewanya aku, aku adalah satu-satunya perempuan yang alami kes ini di dalam keluargaku dan dalam lingkungan kawan-kawan terdekat ku. Alhamdulillah.
Alhamdulillah? Iya, alhamdulillah. Kerana aku lebih senang kalau aku saja yang alami kes seperti ini, dan bukan keluarga ku dan kawan-kawan ku. Semoga mereka semuanya sihat wal 'afiat.
Aku jenis yang period tapi tidak senggugut. Cuma hari Ahad itu, aku merasa sedikit menstrual discomfort. Ya, sudah hari ke 59 baru ada symptom. Wajar kalau aku jadi risau sedikit. Dan ditambah risau lagi apabila semua ahli keluarga ku, ibu bapa ku terutamanya dan juga kawan-kawan ku menggesa aku untuk cek doctor. Diorang yang lebih risau itu membuatkan aku juga ikut risau bersama. Jadinya risau kuasa dua (to the power of two) gitu ya.
Kerana aku sudah ada perasaan 'risau', aku pun bersiap sedia untuk pergi ke klinik kesihatan. Guys, istimewanya aku ini, aku langsung tidak mempunyai duit untuk pergi ke klinik. Hanya ada beberapa sen saja di dalam dompet ku. Syukur Alhamdulillah. Anak buah ku baru sahaja gaji, bak kata orang 'masyukkk', aku pun menebalkan muka ku untuk meminjam duitnya sebanyak RM15 sebelum aku bertolak ke klinik.
Perjalanan ke klinik hari tu sangat dipermudahkan. Alhamdulillah. Aku menunggu teksi tidak sampai 10 minit, walhal pagi-pagi selalunya teksi itu jarang bekerja.
Kepada yang bertanya, "kenapa tidak guna grab?". Jawapannya ialah kerana aku tidak ada data internet yang kuat. Sudah sekian lama aku tidak top up. Malang sekali, klinik itu lokasinya bukan laluan bas. Jadi terpaksa guna cara tradisional, iaitu teksi.
"Klinik kesihatan Ampang?" aku bertanya kepada pemandu teksi tersebut. Sejurus selepas dia mengangguk kepalanya, aku pun menaiki teksi itu.
Diam beberapa minit, kalau ada cengkerik pasti kedengaran bunyi siulan cengkerik itu....
"Kenapa pergi klinik?" pemandu teksi itu akhirnya bertanya.
"Oh? Sakit." Aku menjawab sepatah sambil tersenyum sengih, tidak tahu bagaimana mahu lanjutkan perbualan.
"Tapi adik, bukakah klinik hari Ahad?" dia bertanya lagi.
"Oh? Buka rasanya." Jawab ku dengan yakin.
"Selalunya klinik tidak buka hari Ahad." Dia patahkan balik keyakinan ku, 'ah sudah... biar betul..' hati kecil ku mengeluh.
"Harap-harap dia bukalah hari ni." Jawab ku dengan nada penuh harapan.
Aku cepat-cepat ubah topik kerana aku tidak mahu harapan ku dilumatkan, "Hari ini laju jak dapat teksi. Alhamdulillah. Selalunya teksi kurang."
"Diikutkan Ahad pagi selalunya teksi-teksi taknak bekerja. Sebab diorang kata 'tak ada orang'. Tapi saya tidak fikir macam tu, saya tahu Ahad pagi mesti akan ada orang juga yang mahu naik teksi. Sebab rezeki itu kan Allah akan bagi pada hambaNya yang mencari. Biarlah orang lain taknak bekerja, tapi saya tetap bekerja juga sebab saya yakin pada Allah." Dia jawab.
***
Begitulah permulaan kisah bagaimana aku menuntut ilmu di dalam teksi. Aku tersentak kerana awal bicaranya sudah menyebut tentang rezeki. Kerana status ekonomi aku sekarang kan agak melucukan. Bak kata orang putih 'Broke'. Pemandu teksi itu melanjutkan taujih (nasihat) nya untuk aku.
"Malaikat itu tukar shift pada waktu subuh. Pada waktu itulah, mereka tabur-taburkan rezeki di atas muka bumi. Ya, Allah yang bagi rezeki. Tapi bukan terus ke tangan kita. Bukan terus ke depan mata kita. Tapi rezeki itu perlu dicari. Bila kita cari, maka Allah akan berikan kepada kita dari arah yang tidak disangka-sangka. Kalau mahu dimudahkan untuk mencari rezeki, amalkan ayat seribu dinar. InsyaAllah, akan dipermudahkan."
"Kan kalau kita mahu masuk ke dalam rumah, kita kena ada pintu. Begitu juga dengan rezeki, rezeki itu ada pintunya. Kita mahu rezeki, kita kena buka pintu. Dan apa pintu rezeki itu? Pintunya adalah solat dhuha. Senang saja solat dhuha tu, paling minima buat dua raka'at. Kalau mahu lebih bagus lagi dan cepat melihat hasilnya, buat empat raka'at. Maka, insyaAllah, rezeki itu akan mudah masuk."
"Ramai orang sekarang ni salah baca doa makan. Jadi, doa apa yang diorang baca tu sebenarnya?" Dia bertanya.
Sambil memahami makna doa yang selalu dibaca sebelum makan, aku menjawab, "Doa rezeki."
Ternyata benar juga ya, doa itu untuk meminta keberkatan dalam rezeki serta terhindar dari azab neraka.
"Ya, betul. Itu doa untuk meminta keberkatan dalam rezeki. Doa makan yang sebenar adalah 'sahaja aku makan kerana Allah'. Apa-apa yang kita lakukan, harus diniatkan 'kerana Allah'."
Betul juga kata pemandu teksi ni. Yang lucunya, aku baru sedar hakikat ini, guys. MasyaAllah walhamdulillah. Dia teruskan lagi taujihnya.
"Masalahnya sekarang, ramai orang hanya baca doa itu ketika sebelum makan. Walhal, rezeki itu bukan setakat makan. Tapi merangkumi banyak benda. Jadi, kita ni seharusnya minta keberkatan dalam semua jenis rezeki. Tidak guna rezeki yang banyak tapi tidak berkat. Kau kaya sebab duit rompak, kau kaya sebab duit curi, kau kaya sebab menipu. Tak berkat macam tu. Biar duit sedikit tapi halal dan barakah."
"Setengah orang ni kalau sakit mesti dia salahkan orang buat santau kat dia. Padahal, mungkin sakit yang Allah berikan itu adalah disebabkan dosa-dosanya yang lalu. Mungkin dia pernah mencuri, mungkin dia pernah minum arak dan sebagainya. Dan sakit itu adalah penghapus dosa baginya."
"Ramai orang yang bila dia sakit, dia selalu letak Allah pada tempat yang ketiga. Kan selalu orang yang sakit ni, pertama dia akan cari doctor dulu. Bila doctor tidak mampu menyembuhkan dia, dia cari yang kedua iaitu ustad. Bila ustad tidak juga mampu berbuat apa-apa, barulah manusia ni pulun untuk baca yasin, baca Quran, berdoa, beramal segala macam untuk meminta pada Allah. Padahal, yang memberi sakit itu Allah, yang menyembuhkan itu Allah. Kenapa meletakkan Allah yang di belakang?"
***
Senyap seketika kerana kami suda sampai ke destinasi.
"Eh, buka tak ni? Macam tak ada orang jak ni." Katanya setelah kami betul-betul sampai depan pagar klinik.
"Ha?? Ala, tutuplah klinik." Sedihnya aku rasa. Itulah yakin sangat buka hari Ahad. Kuang kuang kuang....
"Jadi, macam mana ni?" Dia bertanya sambil tumpang sedih.
"Tidak apa lah. Saya balik rumah jak terus. Taman Muda." Jawab ku.
Dia pun menghantar aku semula. Dalam perjalanan balik, dia menceritakan kisahnya dulu yang pernah sakit lumpuh disebabkan GBS (Guillain Barre Syndrome). Sejenis syndrome yang menyerang saraf sehingga menganggu sistem imunisasi manusia. Ujian yang sangat dahsyat dia terima, sehingga dia tidak boleh berjalan, terpaksa memakai urine bag, enteral feeding (makan melalui hidung) dan sebagainya. MasyaAllah. Semua doctor beritahu bahawa sudah tiada harapan baginya untuk sembuh.
Di situlah menjadi titik tolak dia berubah kembali pada Allah, bertaubat atas dosa-dosanya, melakukan solat, membaca al-Quran, berdoa meminta kesembuhan dan menuntut ilmu agama. Sehingga dia melihat hasil bertawakkal kepada Allah itu sangat luar biasa! Sekarang ni dia boleh berjalan, boleh bekerja dan boleh teruskan kehidupan seperti orang normal. Alhamdulillah.
Begitu banyak ilmu yang dicurahkan sepanjang 15 minit. Iya 15 minit sahaja. Tapi terasa seperti dengar ceramah satu jam kan, begitu banyak ilmu yang aku terima. Alhamdulillah. Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan keberkatan dalam waktu, masa yang sedikit tapi terasa lama dan terisi dengan penuh manfaat. No wonder kelas dalam lecture terasa seperti berjam-jam dan lambat habis. Sampai banyak yang tersenguk-senguk dalam kelas.
Aku keluar rumah hari tu, mungkin di mata kasarnya, tampak rugi ya. Duit terbang. Klinik tutup. Tapi bagi aku, ilmu yang aku dapat itu jauh lagi berharga dan bernilai. Alhamdulillah.
Allah telah meringankan niat ku untuk pergi ke klinik dan mempermudahkan aku menaiki teksi, semata-mata untuk aku menuntut ilmu dengan si pemandu teksi. Alhamdulillah. Terima kasih, guruku. Semoga Allah membalas jasa baik mu atas peringatan yang engkau berikan dengan sebaik-baik balasan iaitu syurga Firdaus.
***
Sebelum terjadinya peristiwa ini, aku mengamalkan satu doa iaitu "Ya Allah, rezekikanlah aku ilmu yang bermanfaat dan kefahaman tentang agama, serta jadikanlah aku termasuk orang yang mendapat petunjuk dan bimbingan dari Mu." Ternyata Allah itu benar-benar Maha Mendengar, guys. Dia datangkan ilmu itu dari arah yang tidak disangka-sangka. Subhanallah.
Maaf sahabat ku semuanya, niat aku berkongsi semua ini adalah untuk menginspirasi dan mengingatkan diri ku dan semua yang membaca. Bukan untuk merasa lebih baik dari yang lain. Semoga Allah meredhai usaha ini dan membantu kita semua dalam memperbaiki diri kita menjadi mukmin rabbani.
Guys, jika datang kepada mu sesuatu ilmu. Bersyukurlah kepada Allah dan bertasbihlah memuji Dia. Kerana "barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, maka dia akan diberikan kefahaman tentang agama (Faqihu fiddin)." (HR Bukhari dan Muslim)
Allahu'alam bissowab.
<Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh>
No comments:
Post a Comment