Tuesday, 12 June 2018

Menunggu Hikmah VS Mencari Hikmah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Image result for bersangka baik dengan Allah

Ada sebuah kisah yang diadaptasikan dari filem barat, menceritakan tentang seorang ahli perniagaan yang sedang bercakap melalui telefon, dia dalam perjalanan menuju ke pejabat syarikatnya. Apabila kereta yang dinaikinya berhenti di depan syarikatnya, dia pun keluar daripada kereta tersebut tanpa melihat ada seorang lelaki yang sedang mengayuh basikal di belakang, sehingga mereka berdua terlanggar antara satu sama lain.

Sejurus selepas itu, telefon bimbitnya pun terhempas ke jalan raya dan dirempuh oleh sebuah lori yang besar sehingga hancur. Ahli perniagaan itu sangat bengang dengan kejadian tersebut. Dia pun memaki dan menyalahkan si pengayuh basikal tadi. Sehingga dia berkata, "Kalau lah semua ini tidak terjadi!"

Dalam cerita ini, si pengayuh basikal tadi merupakan superhero yang boleh memutarkan balik masa. Dia pun menggunakan kuasanya tersebut, dan dia melihat ahli perniagaan itu masih rancak bercakap melalui telefon, sehingga keretanya berhenti di depan syarikat. Apabila ahli perniagaan itu hendak keluar dari kereta, tiba-tiba satu bunyi yang sangat kuat kedengaran...

DUSHH....! Si pengayuh basikal tadi terkejut kerana dia melihat ahli perniagaan itu dilanggar oleh lori besar sehingga mati! Kemudian dia berkata sambil menggeleng-geleng kepalanya,

"Manusia tidak tahu apa sebenarnya yang mereka inginkan"


* * *

Pengajaran dalam cerita ini adalah setiap apa yang terjadi mempunyai hikmah yang sangat besar telah Allah aturkan. Mungkin apa yang terjadi adalah sesuatu yang di luar dugaan kita, tapi disebalik peristiwa yang terjadi itu tersembunyi 1001 hikmah yang Allah hendak berikan kepada kita.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 216:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: 
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat burut bagi mu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."


Sebagai hambaNya yang mempunyai akal pemikiran, tidaklah wajar bagi kita hanya menunggu apakah hikmah disebalik ujian yang melanda. Tetapi sebaliknya kita harus membuka hati kita untuk mencari hikmah yang tersembunyi. Kemudian, terus menerus memujiNya di atas kebijaksaan susun atur yang Dia telah tetapkan. 


* * *

Al-Kisah kedua adalah mengenai seorang lelaki yang sedang berjalan menuju ke masjid, dalam perjalanan tiba-tiba dia tersungkur masuk ke dalam longkang, sehingga mengalami sedikit kecederaan. Tapi lelaki itu tidak sedikit pun melatah, tapi sebaliknya dia memuji Tuhannya. 

Apabila dia ditanya, "Kenapa Alhamdulillah?"

Dia menjawab, "Alhamdulillah kerana aku hanya jatuh ke dalam longkang dan bukannya jatuh ke dalam gaung yang curam."

Ada pepatah mengatakan, 

"Apabila hati kita hanya sekecil cawan, maka secubit garam akan terasa masinnya. Tapi apabila kita lapangkan hati seluas lautan, maka secubit garam hatta sebakul garam sekalipun tidak akan terasa lagi masinnya."

Begitu jugalah dengan ujian-ujian yang melanda kita, fikirkan hikmahnya, cari hikmahnya, hitung hikmahnya. Agar hati kita tenteram walaupun dilanda ombak ujian. Allahu'alam. 

Image result for bersangka baik dengan Allah


< Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh > 


No comments:

Post a Comment

Sudah-sudahlah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Sudah-sudahlah tu menangis meratapi yang sudah pergi.  Sudah-sudahlah tu berbuat maksiat...