Thursday, 14 June 2018

Kenapa Tidak Boleh Berputus Asa Dalam Bertaubat?

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


Related image



1. Syaitan ingin manusia berputus asa dalam bertaubat

Hasan Al-Basri pernah ditanya, "Tidakkah seseorang di antara kita merasa malu terhadap Tuhannya? Kita berbuat dosa dan memohon ampun, lalu kita berbuat dosa lagi dan kemudian memohon ampun lagi, dan begitu seterusnya?"

Hasan Al-Basri menjawab, "Syaitan ingin agar seseorang di antara kalian berputus asa. Oleh itu, janganlah kalian penat dalam meminta ampun."


Jika syaitan tidak pernah berputus asa dalam menyesatkan manusia, 
mengapa kita harus berputus asa dalam bertaubat kepada Allah? 


2. Sebesar apa pun dosa mu, Allah akan ampunkan

Dari Anas Bin Malik, berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda, "Allah berfirman: 'Wahai Anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada Ku dan berharap kepada Ku akan Aku ampuni apa yang telah kamu lakukan, Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosa mu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada Ku membawa kesalahan sebesar dunia kemudian engkau datang kepada Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, pasti Aku akan datang kepada mu dengan ampunan sebesar itu pula." (HR Tirmizi)


3. Kebaikan menghapuskan kesalahan

Dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdurrahman Muaz Bin Jabal, Rasulullah S.A.W bersabda, "Bertakwalah kamu kepada Allah di manapun kamu berada, iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan nescaya ia dapat menghapuskannya dan pergaulilah manusia dengan budi pekerti yang baik." (HR Tirmizi)

Dalam Surah Furqan, ayat ke 70, Allah S.W.T. berfirman, "Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan (amal yang baik), maka kejahatan mereka akan digantikan dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."


4. Sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan

Dari Anas Bin Malik, Rasulullah S.A.W. bersabda, "Setiap anak Adam mempunyai banyak kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat." (HR Tirmizi dan Ibnu Majah)

Dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke 222, Allah S.W.T. berfirman, "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyucikan diri."

"Sesungguhnya beruntung bagi orang yang 
mendapatkan dalam buku catatan amalnya, banyak istighfar." 
(HR Ibnu Majah)


5. Allah sangat gembira menerima taubat hambaNya

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sesungguhnya Allah S.W.T. sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali." (HR Bukhari dan Muslim)

"Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hambaNya ketika ia bertaubat pada-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas kenderaannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir), kemudian haiwan yang ditunggangnya lari meninggalkannya. Padahal pada haiwan tunggangannya itu ada perbekalan makan dan minumnya. Sehingga ia pun menjadi putus asa. Kemudian ia mendatangi sebuah pohon dan tidur berbaring di bawah naungannya dalam keadaan hati yang telah berputus asa. Tiba-tiba ketika ia dalam keadaan seperti itu, kenderaannya tampak berdiri di sisinya, lalu ia mengambil ikatnya. Kerana sangat gembiranya, maka ia berkata, 'Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Rabb-Mu'. Ia telah salah mengucapkan kerana sangat gembiranya." (HR Muslim)



Image result for gambar kartun taubat


< Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh >






Tuesday, 12 June 2018

Menunggu Hikmah VS Mencari Hikmah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Image result for bersangka baik dengan Allah

Ada sebuah kisah yang diadaptasikan dari filem barat, menceritakan tentang seorang ahli perniagaan yang sedang bercakap melalui telefon, dia dalam perjalanan menuju ke pejabat syarikatnya. Apabila kereta yang dinaikinya berhenti di depan syarikatnya, dia pun keluar daripada kereta tersebut tanpa melihat ada seorang lelaki yang sedang mengayuh basikal di belakang, sehingga mereka berdua terlanggar antara satu sama lain.

Sejurus selepas itu, telefon bimbitnya pun terhempas ke jalan raya dan dirempuh oleh sebuah lori yang besar sehingga hancur. Ahli perniagaan itu sangat bengang dengan kejadian tersebut. Dia pun memaki dan menyalahkan si pengayuh basikal tadi. Sehingga dia berkata, "Kalau lah semua ini tidak terjadi!"

Dalam cerita ini, si pengayuh basikal tadi merupakan superhero yang boleh memutarkan balik masa. Dia pun menggunakan kuasanya tersebut, dan dia melihat ahli perniagaan itu masih rancak bercakap melalui telefon, sehingga keretanya berhenti di depan syarikat. Apabila ahli perniagaan itu hendak keluar dari kereta, tiba-tiba satu bunyi yang sangat kuat kedengaran...

DUSHH....! Si pengayuh basikal tadi terkejut kerana dia melihat ahli perniagaan itu dilanggar oleh lori besar sehingga mati! Kemudian dia berkata sambil menggeleng-geleng kepalanya,

"Manusia tidak tahu apa sebenarnya yang mereka inginkan"


* * *

Pengajaran dalam cerita ini adalah setiap apa yang terjadi mempunyai hikmah yang sangat besar telah Allah aturkan. Mungkin apa yang terjadi adalah sesuatu yang di luar dugaan kita, tapi disebalik peristiwa yang terjadi itu tersembunyi 1001 hikmah yang Allah hendak berikan kepada kita.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 216:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: 
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat burut bagi mu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."


Sebagai hambaNya yang mempunyai akal pemikiran, tidaklah wajar bagi kita hanya menunggu apakah hikmah disebalik ujian yang melanda. Tetapi sebaliknya kita harus membuka hati kita untuk mencari hikmah yang tersembunyi. Kemudian, terus menerus memujiNya di atas kebijaksaan susun atur yang Dia telah tetapkan. 


* * *

Al-Kisah kedua adalah mengenai seorang lelaki yang sedang berjalan menuju ke masjid, dalam perjalanan tiba-tiba dia tersungkur masuk ke dalam longkang, sehingga mengalami sedikit kecederaan. Tapi lelaki itu tidak sedikit pun melatah, tapi sebaliknya dia memuji Tuhannya. 

Apabila dia ditanya, "Kenapa Alhamdulillah?"

Dia menjawab, "Alhamdulillah kerana aku hanya jatuh ke dalam longkang dan bukannya jatuh ke dalam gaung yang curam."

Ada pepatah mengatakan, 

"Apabila hati kita hanya sekecil cawan, maka secubit garam akan terasa masinnya. Tapi apabila kita lapangkan hati seluas lautan, maka secubit garam hatta sebakul garam sekalipun tidak akan terasa lagi masinnya."

Begitu jugalah dengan ujian-ujian yang melanda kita, fikirkan hikmahnya, cari hikmahnya, hitung hikmahnya. Agar hati kita tenteram walaupun dilanda ombak ujian. Allahu'alam. 

Image result for bersangka baik dengan Allah


< Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh > 


RESEPI: STIR FRY BROCCOLI AND CAULIFLOWER

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Related image

Nak masak apa untuk hari ini? Stir Fry Broccoli & Cauliflower boleh dijadikan salah satu pilihan anda! Sungguh, ia sangat senang untuk dimasak! Masakan ini juga sangat enak dan mampu mencairkan hati sesiapa pun yang memakannya (Confidence is bliss HAHA). Resepi yang saya sediakan ini adalah untuk 4 orang makan. Jadi, anda boleh agak sendiri sekiranya anda nak masak lebih atau nak masak kurang. Selamat Mencuba!

Bahan-bahan:
  • 1 tongkol broccoli 
  • 1 tongkol cauliflower 
  • 1 batang lobak merah
  • 1 bawang merah 
  • 2 bawang putih 
  • Dada ayam yang dipotong dadu
  • 2 sudu teh cinnamon powder
  • 1/2 gelas air putih
  • 1/2 gelas sos tiram
  • garam secukup rasa
  • lada hitam secuit 


Cara Masak:
  1. Potong dan hiris kecil-kecil bawang putih dan bawang merah. Bagi yang tak suka makan bawang, potonglah bawang tu sehalus yang mungkin atau blender sahaja bawang tu bagi lumat dan hancur sehancur-hancurnya.
  2. Potong broccoli, cauliflower, lobak merah ikut kreatifiti masing-masing, nak buat bentuk love pun boleh, nak buat bentuk empat segi pun boleh, buat lah apa pun, yang penting anda bahagia.
  3. Didihkan air dalam periuk sehingga mendidih atau menggelegak. Pastikan periuk itu besar dan muat semua sayur mayur yang anda potong tadi.
  4. Apabila air sudah mendidih, masukkan sayur mayur anda dan biarkan selama 1 minit 30 saat.  
  5. Kemudian, panaskan minyak dan pastikan pasang api perlahan dan kecil sahaja, untuk mengelak sebarang kehangusan berlaku. 
  6. Masukkan bawang dan tumis dengan gembira. 
  7. Masukkan dadu ayam dan goreng sampai masak. 
  8. Masukkan sayur mayur. 
  9. Selepas itu, masukkan sos tiram dan air putih. Kemudian, gaul guna senduk untuk bagi sebati. Jika sos tiram terasa seperti kurang, tambahkan saja, jangan segan-segan. 
  10. Masukkan cinnamon, garam, dan lada hitam secukupnya.
  11. Kemudian, gaul-gaul-gaul-gaul-gaul.
  12. Langkah terakhir, tutupkan kuali selama 5 minit.

DAH SIAP! 

Bersedia untuk menangis terharu untuk merasakan masakan yang sedap ini. Jika anda seorang pelajar atau si bujang yang tinggal bersama-sama kawan-kawan di rumah sewa, silalah guna peluang ini untuk mencairkan hati housemate dengan resepi ini!


Akhir kata...

Asah skill memasak bukan untuk impress orang lain, tapi untuk bagi perut bahagia.

Selamat mencuba!


Hidupkan Hati Yang Mati

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Image result for hadis nasihat akan menghidupkan hati yang mati


Ibnu Qayyim Al-Jauziyah pernah mengaitkan bahawa hati manusia terbahagi kepada 3 kriteria:

  • Qalbun salim (hati yang sihat) 
  • Qalbun mayyit (hati yang mati) 
  • Qalbun maridh (hati yang sakit)


10 Tanda Hati Yang Mati Adalah: 

1. Kita mengaku kenal dan cinta Allah, tapi tidak menunaikan hakNya.

2. Kita mengaku cinta Rasulullah tetapi mengabaikan sunnahNya.

3. Kita membaca Al-Quran tapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya. 

4. Kita memakan nikmat Allah, tapi tidak mensyukuri pemberianNya. 

5. Kita mengaku musuh syaitan, tetapi mengikutinya. 

6. Kita mengakui nikmat syurga tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya. 

7. Kita mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha menjauhinya. 

8. Kita mengaku bahawa kematian akan datang pada setiap jiwa, tetapi tidak berusaha mempersiapkan bekalnya. 

9. Kita sibuk membuka aib orang lain, tapi tidak pernah ingat akan aib diri. 

10. Kita menghantar dan menguburkan jenazah tetapi tidak mengambil hikmah darinya. 



* * * 


Cara menghidupkan hati yang mati:

1. Perbaharui iman 

Dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, "Perbaharuilah iman kalian." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana kami perbaharui iman kami?" Nabi menjawab, "Dengan perbanyakkan menyebut laa ilaha illallah." (HR Ahmad dan Thabrani)


2. Menimba ilmu agama

Dari Mu'awiyah R.A berkata, saya pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, "Siapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman tentang agama." (HR Bukhari dan Muslim)


3. Meminta nasihat

Umar Al-Khattab R.A berkata, "Sekiranya kamu melihat aku telah menyeleweng, maka perbetulkanlah aku."

"Oleh sebab itu berilah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat. Orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran. Dan orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya, (iaitu) orang yang memasuki api yang besar (neraka)." (Surah Al-A'la: 9-12)


4. Berdamping dengan orang yang soleh

"Sesungguhnya agama seseorang itu tergantung dengan agama teman karibnya. Maka hendaklah seseorang itu melihat siapakah yang akan menjadi teman karibnya." (HR Abu Daud)


5. Mencari hati

Pesanan Imam al-Ghazali: "Carilah hati mu di tiga tempat. Temui hati mu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hati mu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hati mu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati."


* * *


Terdetik untuk berubah ke arah kebaikan merupakan satu nikmat yang sangat besar daripada Allah S.W.T. Apabila kita berikhtiar untuk berubah, maka ia memerlukan usaha dan doa yang tidak putus-putus pada Allah. Janganlah kita hanya menunggu masa hidayah Allah datang pada kita, tapi sebaliknya kita lah yang perlu memercu ke arah hidayah. Sambil meminta pertolongan daripadaNya agar Dia membimbing kita ke arah kebaikan.

Semoga Allah beri petunjuk dan keampunan kepada kita 
sebagaimana Dia memberi petunjuk kepada Siti Zulaikha yang pernah rakus dengan nafsu. 

Semoga Allah beri petunjuk dan keampunan kepada kita 
sebagaimana Dia memberi petunjuk kepada Umar Al-Khattab yang pernah keras hati menerima kebenaran. 


Image result for mencari hati di tiga tempat

< Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh >



Sudah-sudahlah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ Sudah-sudahlah tu menangis meratapi yang sudah pergi.  Sudah-sudahlah tu berbuat maksiat...